Sekitar program Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia Peringkat Negeri Selangor 2024 (HPBS Selangor 2024) pada 20 Oktober 2024 (Ahad) bertempat di Laman Rekreasi Tasek Tambahan, Ampang.
Ribuan terima kasih diucapkan kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) kerana sudi menjemput PKNS FM Integrated (PKNS FMI) dan juga TNB Engineering Corporation (TNEC) untuk turut serta di dalam program HPBS Selangor 2024.
Program HBPS Selangor 2024 disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan diiringi oleh DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin, dan ketibaan baginda berdua telah disambut oleh Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
Hadir sama Exco kerajaan negeri, termasuk Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Datuk Rizam Ismail dan Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Datuk Ng Suee Lim selain Ketua Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) Datuk Alias Rameli dan Pengarah PLANMalaysia negeri Khairulzaman Ibrahim.
HPBS diadakan pada setiap 8 November di seluruh dunia bagi meraikan profesion perancang bandar. Antara tujuan sambutan HPBS adalah untuk memberikan manfaat kepada komuniti setempat melalui program, pameran, dan aktiviti yang dianjurkan. Secara tidak langsung, profesion perancang bandar dan desa juga dapat lebih dikenali oleh masyarakat.
Selain itu, HPBS Selangor 2024 bertemakan “Sedaya Upaya Membina Bandar Mampan dan Pintar” yang menyasarkan kehadiran 3,000 pengunjung ini juga dapat mempromosikan produk serta destinasi pelancongan tempatan kepada masyarakat umum, sekali gus menjana ekonomi setempat.
Sumber: Bernama