PERUTUSAN CEO Hari Raya Aidilfitri – 1446H/2025

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua warga kerja PKNS FMI. Semoga Hari Raya ini membawa kebahagiaan, keberkatan, dan keharmonian kepada kita semuabersama keluarga tersayang.

Tahun 2024 telah menyaksikan pencapaian yang membanggakan dalam prestasi kewangan syarikat, di mana kita telah mencatatkan keuntungan selepas cukai yang baik dan menggalakkan. Berikutan pencapaian ini, saya dengan sukacitanya ingin mengumumkan bahawa Ahli Lembaga Pengarah telah meluluskan pembayaran bonus sebanyak setengah bulan gaji kepada semua kakitangan yang akan dibayar pada bulan April ini InsyaAllah.

Sehubungan itu, atas ihsan Ahli Lembaga Pengarah, saya juga berbesar hati untuk mengumumkan bahawa pembayaran Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak satu bulan gaji telah diberikan kepada semua kakitangan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri ini. Syukur Alhamdulillah, semoga sumbangan ini sedikit sebanyak meringankan beban dan meningkatkan kegembiraan kita dalam menyambut hari yang mulia ini.

Bagi tahun 2025, harapan saya adalah untuk kita mencapai sasaran hasil dan keuntungan syarikat yang lebih tinggi seperti yang telah kita rancang dan tetapkan di dalam Corporate Scorecard syarikat. Ini bukan sekadar angka, tetapi merupakan penanda aras yang akan menentukan hala tuju dan kesinambungan operasi syarikat. Oleh itu, saya mengharapkan setiap jabatan untuk menyelaraskan strategi masing-masing bagi mencapai matlamat ini.

Untuk makluman semua, bagi memastikan keberkesanan operasi, Group Performance Indicators (GPI) telah diperkenalkan di peringkat PKNS. Prestasi setiap anak syarikat akan dipantau secara teliti dan ini akan memberi kesan langsung terhadap pemberian bonus tahunan dimana kelulusan kuantum pembayaran bonus anak syarikat akan bergantung kepada jumlah dividen yang akan dibayar kepada PKNS.

Justeru itu, saya menyeru agar semua jabatan memastikan setiap sasaran yang telah ditetapkan dalam Corporate Scorecard PKNS FMI dapat dicapai, demi memberi pulangan yang tinggi kepada PKNS dan seterusnya membolehkan kakitangan PKNS FMI menerima ganjaran yang lebih baik dari tahun sebelumnya.

Seiring dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba, saya ingin mengingatkan semua untuk memandu dengan selamat dan cermat ketika pulang ke kampung halaman. Semoga kita semua tiba dengan selamat di destinasi yang dituju dan kembali semula ke tempat kerja dengan penuh semangat.

Akhir kata, saya ingin memohon maaf zahir dan batin atas segala kekhilafan yang berlaku sepanjang tahun ini. Semoga kita semua terus berusaha mencapai kejayaan yang lebih besar, dan diberkati dalam segala usaha yang dilakukan.

Sekian, terima kasih.

Ikhlas,
Haji Shamshul Bahari bin Ahmad,
Ketua Pegawai Eksekutif,
PKNS FM Integrated Sdn Bhd

Write a comment