PERUTUSAN CEO Hari Raya Aidilfitri – 1446H/2025

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera,

Alhamdulillah, kita sekali lagi diberi kesempatan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri, hari kemenangan selepas sebulan menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan yang penuh keberkatan.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh warga PKNS FMI atas komitmen, dedikasi dan kerjasama yang telah diberikan sepanjang tahun dalam memastikan syarikat terus bergerak maju.

Seperti yang semua sedia maklum, pembayaran bonus telah berjaya dilaksanakan pada minggu lepas. Pemberian bonus tersebut adalah berdasarkan prestasi syarikat, termasuk pencapaian kewangan serta jumlah dividen yang telah berjaya dibayar kepada PKNS bagi tahun kewangan 2025. Pencapaian ini mencerminkan usaha berterusan seluruh warga kerja dalam memastikan syarikat mencatatkan prestasi yang baik serta berupaya memenuhi tanggungjawab kepada pemegang saham. Adalah di ingatkan bahawa pengiraan bonus kakitangan adalah berkait rapat dengan prestasi kewangan syarikat, khususnya jumlah dividen yang berjaya dibayar kepada PKNS.

Tahun ini juga telah memberi banyak cabaran, namun dengan semangat kerja berpasukan, kerjasama yang baik, menghormati antara satu sama lain dan disiplin mematuhi proses kerja, InsyaAllah kita akan berjaya mengharunginya dengan baik. Saya berharap agar semua warga PKNS FMI terus mengekalkan teamwork, dedikasi dan amanah dalam setiap tugasan, supaya kita dapat meningkatkan prestasi, menjana pendapatan syarikat yang lebih tinggi, dan seterusnya memberi pulangan yang lebih baik kepada PKNS. Sesungguhnya, kejayaan syarikat adalah hasil daripada usaha bersama.

Akhir kata, saya bagi pihak pengurusan ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh warga PKNS FMI dan keluarga. Semoga perjalanan pulang berhari raya dipermudah, selamat sampai ke destinasi dan Aidilfitri ini membawa kebahagiaan, keberkatan serta mengeratkan lagi silaturrahim sesama kita.

Sekian, terima kasih.

Sekian, terima kasih.

Ikhlas,

Haji Shamshul Bahari bin Ahmad,

Ketua Pegawai Eksekutif,

PKNS FM Integrated Sdn Bhd

Write a comment