PKNS FM Integrated Sdn Bhd melalui Jabatan Health, Safety, Security & Environment (HSSE) telah menganjurkan Program Sesi Perkongsian Pematuhan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514), Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Loji Yang Menghendaki Perakuan Kelayakan) 2024 serta Sistem MyKKP dengan kerjasama Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Kuala Lumpur, bersempena Sambutan Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Peringkat Kebangsaan (NOW) 2026.
Program yang berlangsung di Menara Worldwide, Kuala Lumpur ini bertujuan meningkatkan kefahaman warga kerja mengenai keperluan pematuhan terhadap Akta 514, Peraturan Loji Yang Menghendaki Perakuan Kelayakan 2024 serta penggunaan Sistem MyKKP dalam pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
Sesi perkongsian telah disampaikan oleh Ir. Ts. Ahmad Rusdi Bin Kamal, dari JKKP Kuala Lumpur, yang membentangkan topik berkaitan Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Loji Yang Menghendaki Perakuan Kelayakan) 2024. Turut berkongsi ilmu ialah Puan Norfaezah Binti Jalal, JKKP Kuala Lumpur, yang memberikan penerangan mengenai penggunaan Sistem MyKKP.
Melalui penganjuran program ini, PKNS FM Integrated terus memperkukuh komitmennya dalam membudayakan keselamatan dan kesihatan pekerjaan melalui peningkatan pengetahuan, pematuhan perundangan serta perkongsian amalan terbaik.
Inisiatif ini selaras dengan aspirasi Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara 2026–2030 (OSHMP30) yang menekankan pembudayaan pencegahan, pengukuhan tadbir urus dan pematuhan bagi mewujudkan persekitaran kerja yang selamat, sihat dan mampan.
Seiring dengan semangat Sambutan Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Peringkat Kebangsaan (NOW) 2026, PKNS FM Integrated akan terus memperkasakan budaya keselamatan sebagai tanggungjawab bersama demi kesejahteraan warga kerja, kecemerlangan operasi dan penyampaian perkhidmatan yang berkualiti.













